Pendapat Dr MAZA Mengenai Urusniaga Dengan Yahudi

Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Islam adalah agama yang menghormati semua keturunan manusia. Islam tidak menghukum seseorang disebabkan keturunannya. Islam juga tidak memaksa orang menganut Islam dan memerangi dan menghukum hanya kerana perbezaan agama.

Demikian seseorang Yahudi tidak boleh dihukum hanya kerana dia berketurunan Yahudi atau beragama Yahudi. Permusuhan berlaku antara masyarakat Yahudi dan Nabi Muhammad SAW dalam sejarah disebabkan sikap permusuhan mereka terhadap Islam, bukan keturunan mereka.

Dalam sejarah Nabi SAW; baginda mempunyai isteri yang merupakan seorang Yahudi iaitu Safiyyah binti Huyai.

Sahabat Nabi SAW yang dianggap ilmuwan ‘Abdullah bin Salam, juga seorang Yahudi. Baginda Nabi SAW dalam urusan muamalat pernah menggadai barang kepada Yahudi.

Baginda juga menziarahi Yahudi yang sakit.

Ini menunjukkan kita boleh berbuat baik kepada Yahudi atas dasar persahabatan yang tidak mengkhianati Islam atau atas asas dakwah. Bahkan Al-Quran dalam Surah al-Maidah membenarkan perkahwinan dengan wanita Yahudi dan Kristian yang dikatagori sebagai Ahlul Kitab.

Maka, kenyataan yang menyatakan bahawa kita boleh berurusan Yahudi yang tidak menzahirkan permusuhan kepada umat Islam, adalah benar.

Adapun yang memerangi Islam, maka dia dimusuhi tanpa mengira apapun agamanya.

Firman Allah: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahah, 8-9)

Ayat di atas menjadi asas urusan antara muslim dan agama lain.

Published with Blogger-droid v2.0.4

Comments

shraqs said…
Setuju sangat2 dengan penyataan di atas. Jangan terlalu cepat membuat tuduhan / hukuman secara melulu kalau tidak dibuat kajian / panduan yang penuh. IMHO

Popular posts from this blog

Bila Waktu Mula dan Tamat Solat Sunat Dhuha

Kenapa dan Kesan Hempedu Di Buang - Based on True Story

Masjid Berhampiran Stesen LRT/Monorel