Mimpi Bertemu Nabi

Mimpi nabi

Jika kita masih ingat bagaimana pengasas ajaran al-Arqam semasa masih hidup membuat pelbagai dakwaan. Ketika itu ada imam masjid tertentu mendakwa bahawa dia berjumpa Nabi SAW dalam mimpinya membenarkan ajaran Ashaari Muhammad. Ramai yang terpengaruh dengan mimpi tersebut.

Itu bukan kali pertama, bahkan sudah puluhan kisah setiap kali ada yang mendakwa menjadi Mahdi, ada sahaja orang yang bermimpi berjumpa Nabi SAW dan mengakuinya. Ini termasuk kisah Mahdi di Sudan yang jauh lebih berjaya dari Ashaari Arqam.

Ada pula yang mengeluarkan dalil bahawa Nabi s.a.w telah bersabda:

"Sesiapa yang melihatku dalam tidur sesungguhnya dia benar-benar melihatku, kerana syaitan tidak dapat menyerupaiku." (Riwayat Muslim).

Ya, syaitan memang tidak boleh menyerupai Nabi s.a.w, namun syaitan boleh menyerupai orang lain dan seseorang yang tidak pernah melihat Nabi s.a.w menyangka itu Nabi s.a.w. Tipuan syaitan sangat licik.

Dalam kitab Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari, apa yang disebut oleh tabi'in agung lagi pakar mimpi dalam sejarah Islam, al-Imam Muhammad bin Sirin (meninggal 110H) menafsirkan hadis ini bahawa ia bermaksud ‘jika seseorang melihat Nabi s.a.w dalam rupanya yang asal'.

Ertinya dia mesti mengenali hakikat rupa Nabi s.a.w. Apabila ada orang mendakwa bahawa dia melihat Nabi s.a.w, Muhammad bin Sirin meminta supaya dia menceritakan ciri-ciri Nabi s.a.w yang dia lihat dalam mimpinya.

Apabila dia menceritakannya, beliau menjawab: ‘engkau tidak melihatnya'. Ibn ‘Abbas juga menyelidiki seseorang yang mendakwa bahawa dia bermimpi berjumpa Nabi s.a.w. Beliau bertanya sifatnya, orang itu menjawab seperti Saidina Hasan bin ‘Ali. Ibn ‘Abbas mengakuinya.

Itu jika orang tersebut tidak berbohong. Namun, bagaimana pula jika dia berbohong tentang apa yang dilihatnya? Maka mimpi tidak boleh menjadi hujah dalam agama ini. Ia boleh menjadi isyarat untuk urusan peribadi seseorang, namun bukan syariat yang diamalkan.

Saya masih ingat kisah Presiden sebuah negara ‘bernama agama' yang menceritakan beliau dilindungi cahaya suci seperti para imam mazhabnya ketika berada di PBB. Demikian juga saya masih ingat semasa Gulf Waryang pertama, ketika itu saya belajar di Jordan. Sokongan rakyat Jordan kepada Saddam Hussain begitu kuat.

Ramai juga tokoh agama yang membaca hadis-hadis Nabi SAW dan menyatakan bahawa Saddam Hussain itu penyelamat umat yang dimaksudkan oleh Nabi SAW Saya masih ingat guru-guru hadis yang saya hadiri kuliah mereka membantah penyalahgunaan hadis tersebut.

Baru-baru ini pun ada tokoh agama dalam parti politik tanah air yang mendakwa pemimpinnya sebagai lelaki yang dijanjikan Nabi SAW untuk membebaskan al-Aqsa. Demikianlah agama menjadi mainan mereka yang berkepentingan.

Sebab itu, agama mesti bebas dari ini semua. Semua kita wajar bimbang terhadap diri sendiri dan juga umat ini dengan amaran Nabi SAW: "Apa yang paling aku takut terhadap kamu ialah orang munafik yang petah lidahnya" (Riwayat Ahmad, sahih).

Saya juga lucu apabila ada seseorang berceramah tentang perjuangan murninya setelah dia dipecat ialah membela Islam, Melayu dan raja. Sedangkan Melayu tidak semestinya selari dengan Islam, demikian juga raja.

Jika Islam itu diyakini syumul, membela Islam bererti terbela segala bangsa, raja dan rakyat. Namun, apabila Islam dipergunakan, bahasa Islam dinodai untuk tujuan tersendiri, hanya satu bangsa diperjuangkan dan raja sahaja yang dibela. Bagaimana dengan rakyat bawahan seperti kita? Demikian agama sering menjadi mangsa.

Sumber: Dr. MAZA

Published with Blogger-droid v2.0.4

Comments

Popular posts from this blog

Bila Waktu Mula dan Tamat Solat Sunat Dhuha

Kenapa dan Kesan Hempedu Di Buang - Based on True Story

Masjid Berhampiran Stesen LRT/Monorel