Asal Usul Israel dan Tanggungjawab Kita
Negara bernama Israel sebenarnya tidak wujud dalam peta dunia sejak Allah mencipta bumi. Negara ini diwujudkan secara haram oleh kuasa besar dunia selepas perang dunia kedua, bagi mengotakan perjanjian Balfore yang melibatkan British yang dibantu oleh zionis Yahudi, sejak perang dunia pertama lagi. Negara ini hukumnya haram mengikut hukum agama dan undang-undang antarabangsa ciptaan manusia. Ini kerana ia merampas daripada penduduk asalnya dan menghalau sebahagian besar daripada mereka. Negara kuasa besar dunia yang menjajah memejam mata bagi menghilangkan sifat perikemanusiaan mereka untuk melakukan jenayah bersejarah ini demi kepentingan mereka. Bahkan sebahagian pemimpin negara itu dibantu oleh wang dan media golongan zionis untuk berkuasa.
Dalam pertarungan politik dan ekonomi antarabangsa yang didalangi oleh kuasa besar dunia pula, menjadikan negara haram Israel rakan strategik untuk menjaga kepentingan mereka dirantau paling banyak membekalkan sumber tenaga kepada dunia, dan juga bertindak menjadi polis bagi pihak Barat terhadap dunia Islam.
Perkara ini ditambah lagi dengan sikap tidak saksama negara besar yang menghalalkan negara haram Israel memiliki senjata pemusnah yang diharamkan kerana tanpa perikemanusiaan. Israel sudah membinanya sejak tahun enam puluhan lagi dan menghalang dengan apa cara sahaja bagi melindungi jenayah kemanusiaan yang dilakukannya. Walaupun melalui badan antar bangsa yang paling besar dan berpengaruh, sehinggalah menggunakan kuasa veto paling zalim.
Bagi umat Islam sudah menjadi perkara wajib membebaskan Palestin sepenuhnya dan membela saudara mereka yang dizalimi, sehingga menjadi fardu ain kepada penduduk tempatan dan yang berjiran dan wajib mengikut kedudukan masing-masing di tempat yang jauh. Haram menerima kewujudan negara haram. Hanya satu negara Palestin sahaja bagi penduduknya yang berhak.
Walau pun banyak kalangan negara Arab menerima penyelesaian secara mewujudkan dua negara, ketahuilah bahawa Palestin bukan hak orang Arab sahaja. Palestin adalah hak umat Islam seluruhnya. Kalangan penganut agama Yahudi yang kuat berpegang dengan agama Yahudi menolak wujudnya negara Israel dan menghukumnya dosa besar kerana tindakannya adalah menggali kubur untuk kaum Yahudi sendiri, yang disedari melakukan jenayah dosa besar, membasahi bumi Palastin dengan darah para anbiya dan ulama yang soleh.
Comments