Tazkirah Jumaat: Ikhlas
Ikhlas
Maka, perkara maha utama dalam agama ini ialah soal keikhlasan insan terhadap tuhannya. Ia adalah perkara rohani yang paling ramai manusia gagal menunaikannya. Bukan sahaja orang jahil yang gagal dalam menanganinya, telah gagal juga orang alim. Bukan sahaja gagal para penceramah agama, telah gagal juga para mujahid yang berperang di jalan Allah. Bukan sahaja telah gagal mereka yang membaca buku biasa, tetapi telah gagal mereka yang membaca al-Quran. Bukan sahaja telah gagal penderma kecil, tetapi telah gagal juga penderma yang besar.
Sabda Nabi s.a.w: “Orang yang awal dibicarakan pada Hari Kiamat seorang yang mati syahid. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku telah berperang keranaMU sehingga syahid”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau berperang supaya engkau dikatakan berani, dan itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka.
Datang pula seorang yang lain yang mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku telah mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran keranaMU”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau belajar ilmu supaya engkau dikatakan alim dan engkau baca al-Quran supaya engkau dipanggil qari. Itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka.
Datang pula seorang yang Allah luaskan rezekinya dan telah diberikan pelbagai jenis harta. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia? Dia menjawab: “Aku tidak tinggal satu jalan pun yang Engkau suka untuk didermakan melainkan aku telah pun menderma padanya keranaMU”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau lakukan supaya engkau dikatakan pemurah, dan itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajah sehingga dihumbankan ke dalam neraka. (riwayat Muslim).
Hadis ini sangat merunsingkan kita semua. Demikianlah besarnya peranan ikhlas. Sejauhmana pun manusia memuji kita, tiada ertinya jika amalan kita ini tidak dinilai ikhlas di sisi Allah. Hakikat yang mesti direnung oleh setiap insan tentang dirinya: siapakah aku ini di sisi Tuhanku?”. Segala ceramah, pakaian agama, bahasa yang ‘berbunyi’ agama, lambang yang ‘bercorak agama’ dan segalanya itu tiada apa-apa erti jika seseorang itu ditolak keikhlasan oleh Allah. Syaitan boleh menukar niat yang murni menjadi bongkak dan riyak. Akhirnya berguguran pahala bagaikan daun yang kering. Ya Allah! Betapa kami takut hal itu. Ampunilah kami, curahkan keikhlasan ke dalam nurani ini.
Sumber: Prof Madya Dr Mohd Asri
Comments