Perbetulkan frasa "Saya Yang Menurut Perintah"


SAYA adalah antara ribuan pekerja swasta yang beralih angin bertugas sebagai penjawat awam bagi mencurahkan khidmat bakti kepada institusi kerajaan.
Tidak dapat dinafikan, saya juga mengalami perubahan cara dan persekitaran kerja yang berbeza dari sektor swasta dan sektor awam. Namun itu adalah sesuatu yang normal bagi sesiapa sahaja yang berhijrah ke tempat kerja yang baru.
Apa yang menarik perhatian saya adalah penggunaan frasa "Saya Yang Menurut Perintah" di sektor awam. Ternyata frasa ini dipergunakan secara meluas di surat-surat rasmi mahupun apa bentuk tugas yang diarahkan.
Namun saya berpendapat frasa ini kadangkala disalah erti oleh sesetengah pihak. Mereka merasakan mereka wajib mengikut arahan tanpa usul periksa.
Saya melihat ini adalah suatu persekitaran kerja yang kurang sihat di mana jika dibiarkan boleh mewujudkan suasana kerja yang tidak kompetitif.
Bagaimanapun saya suka melihat dari sudut mengapa perkara ini boleh berlaku.
Pertama, saya berpendapat ruang perbincangan di antara pemberi arahan dan penerima arahan perlu dibuka dengan lebih telus dan berkesan.
Mahu tidak mahu ada di antara penerima arahan merasakan diri mereka tidak wajar atau tidak layak mengulas lanjut tentang arahan yang telah diberikan. Ketika inilah peranan pemberi arahan amat diperlukan.
Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak juga menyatakan "Era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berlalu" yang mana setiap ketua di sektor awam harus mempraktikkan komunikasi dua hala dengan pekerja mereka.
Selain daripada hanya memberi arahan, tanya pendapat mereka tentang arahan yang diberikan. Wujudkan ruang perbincangan di mana "walaupun saya ketua tidak semestinya saya sentiasa betul". Persekitaran seperti ini akan melahirkan pekerja yang lebih pro aktif dan dinamik.
Kedua, keberanian menyuarakan pendapat sering disalah ertikan sebagai degil dan melawan arahan. Penerima arahan yang sering menyuarakan pendapat dilabel sebagai tidak suka kepada majikan. Percaya atau tidak, ada pekerja yang dipulaukan kerana alasan sedemikian. Ini juga harus diubah.
Menyuarakan pendapat adalah perkara yang sangat perlu bagi melahirkan pekerja yang rajin berfikir. Mereka yang hanya mengikut arahan tanpa soal kadang kala mereka yang sudah tidak mahu berfikir kerana takut dilabel degil oleh pekerja lain.
Di sini sekali lagi peranan ketua jabatan amat diperlukan. Jangan melabel orang yang memberi pendapat itu sebagai orang yang suka melawan. Mungkin ada jalan yang lebih murah dan efektif idea yang dicetuskan oleh penerima arahan.
Secara ringkasnya, frasa ini boleh diperbetulkan dengan sebahagian besar peranannya dimainkan oleh pemberi arahan. Jangan jadikan frasa ini sebagai satu tiket untuk merasakan diri anda berkuasa untuk jawatan anda.
Walaupun nampak remeh, memperbetulkan tafsiran salah frasa ini mungkin dapat merealisasikan "1 Malaysia" dengan jayanya.
Pengalaman memang mendewasakan kita, tetapi jangan pula menganggap apa yang kita lalui itu sentiasa betul. Adakalanya kita memerlukan idea daripada mereka yang lebih muda daripada kita.
Jangan takut menghadapi kesilapan, tetapi takutlah menghadapi kesilapan yang sama berulang kali.

Comments

Popular posts from this blog

Bila Waktu Mula dan Tamat Solat Sunat Dhuha

Kenapa dan Kesan Hempedu Di Buang - Based on True Story

Masjid Berhampiran Stesen LRT/Monorel