Kelulusan Bajet 2010 wajar diutama

SETELAH hampir dua bulan Bajet 2010 dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Datuk Seri Najib Razak, rata-rata rakyat Malaysia memberikan respon positif di atas inti pati yang dikemukakan oleh kerajaan. Rakyat tidak mengira kaum semakin faham akan gagasan 1Malaysia yang ingin diutarakan dan dijayakan oleh Perdana Menteri kita.

Namun, insiden Bajet 2010 hampir tidak dapat diluluskan kerana kekurangan undian oleh pihak kerajaan patut diambil perhatian serius oleh semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN). Ini kerana Bajet 2010 adalah satu bentuk belanjawan yang akan diguna pakai untuk merealisasikan apa yang dirancang oleh kerajaan kepada rakyat.

Adalah tidak adil bagi Kementerian Kewangan yang diterajui Najib sendiri berhempas pulas mencari formula terbaik Bajet 2010, tetapi bajet itu tidak dapat diluluskan berikutan ketidakhadiran Ahli Parlimen BN sendiri.

Kenyataan Ketua Whip BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Tan Sri Pandikar Amin selaku yang Yang Dipertua Dewan Rakyat wajib dijadikan teguran membina untuk mengelak kejadian
seumpama berulang.

Walaupun sibuk dengan majlis rasmi lain atau temujanji yang mungkin juga tidak dapat dielakkan, susunan keutamaan kerja wajar dijadikan panduan dalam melaksanakan tugas.

Oleh yang demikian, dan berdasarkan senario sebegini, peranan Setiausaha Sulit Kanan mahupun Setiausaha Sulit kepada setiap Ahli Parlimen amat diperlukan. Ini kerana sudah menjadi kewajipan mereka untuk membantu mengurus dan memantau perancangan harian (jadual harian) setiap Ahli Parlimen seperti termaktub di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 (2008).

Ini juga termasuk menguruskan segala perjumpaan majlis rasmi yang dirancang. Jika setiap setiausaha diberi kuasa untuk memainkan peranan tugas mereka dengan betul dan efisien, maka kejadian seperti ini mungkin dapat dielakkan daripada awal lagi.

Mereka akan menyusun setiap tugas Ahli Parlimen mengikut keutamaan. Hal-hal membabitkan isu seperti kelulusan Bajet 2010 tidak wajar diberi kompromi kerana ia membabitkan kepentingan kerajaan terhadap seluruh rakyat Malaysia. Malah implikasinya tidak dapat dibayangkan jika Bajet 2010 itu tidak diluluskan.

Insiden kelulusan Bajet 2010 ini juga wajar dijadikan titik permulaan untuk setiap Ahli Parlimen BN supaya memberi perhatian lebih serius terhadap sidang Dewan Rakyat seperti disuarakan sendiri oleh Pandikar Amin. Ini juga berdasarkan peratusan kehadiran Ahli Parlimen BN hanya 48 peratus (66/137) berbanding 77 peratus (63/82) pihak pembangkang.

Bagaimanapun, rakyat sendiri sudah pun dapat menilai betapa komited Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang bergegas juga turun ke Dewan Rakyat untuk memastikan Bajet 2010 diluluskan dengan undian 66 undi menyokong berbanding 63 menolak. Ini harus dijadikan ikutan Ahli Parlimen BN lain supaya terus berusaha tanpa jemu merealisasikan impian seluruh rakyat Malaysia.

EZZUDDIN AB RAZAD,
Putrajaya.

Comments

Popular posts from this blog

Bila Waktu Mula dan Tamat Solat Sunat Dhuha

Kenapa dan Kesan Hempedu Di Buang - Based on True Story

Masjid Berhampiran Stesen LRT/Monorel