Kaji Semula Kurikulum JPJ

Kurikulum JPJ Wajar Diperkenalkan Di Peringkat Sekolah Menengah.
(Forum - Utusan Malaysia 1 Oct 2009)

Hari ini rata-rata masyarakat berbicara mengenai OPS Sikap ke 20 yang melabuhkan tirainya semalam.Ramai menyuarakan mengenai keberkesanan operasi itu sendiri dan ada juga menyuarakan pendapat individu untuk menangani masalah ini.Jika dilihat dari satu sudut, ini adalah perkembangan yang baik.Masyarakat Malaysia sebenarnya memang peka terhadap perkara ini.

Ops Sikap ke 20 merekodkan jumlah kematian kedua tertinggi dalam sejarah operasi itu sejak diperkenalkan lapan tahun lalu dengan 261 kematian.Jumlah korban tertinggi sebelum ini sebanyak 285 orang daripada 253 kemalangan maut yang dicatatkan semasa Ops Sikap Ketiga, iaitu pada 13 Disember 2002. Kini, banyak agensi yang berkenaan seolah-olah buntu mencari jalan penyelesaian.Hasil kajian oleh Kajian Institut Keselamatan Jalan Raya (MIROS) juga telah membuktikan tabiat memandu yang tidak sihat adalah faktor utama penyumbang kepada permasalahan ini.

Saya berpendapat sudah tiba masanya kita kembali ke pangkal jalan.Bak kata pepatah “Jika sudah sesat, pulang ke tempat asal di mana tempat bermulanya perjalanan itu”.Saya amat bersetuju dengan pendapat penulis Jami'ah Shukri di dalam artikelnya bertajuk “Kurikulum pendidikan JPJ perlu dirombak”.Segalanya-galanya bermula disini.Saya tidak melabel Kurikulum yang sedia ada ini tidak boleh di guna pakai.Kurikulum ini jugalah yang telah melahirkan ramai pemandu berhemah di negara ini.Cuma ada segelintir yang rakus mengikut hawa nafsu, mementingkan diri sendiri dan menyusahkan pengguna yang lain.

Saya menyarankan sebahagian kurikulum ini dapat diperkenalkan di peringkat sekolah menengah iaitu di Tingkatan Empat.Mungkin tidaklah menjadi Mata Pelajaran SPM, tetapi mungkin menjadi matapelajaran wajib lulus untuk ke Tingkatan Lima.Ada yang berpendapat bukan semua yand berhajat mendapatkan lesen memandu, tetapi pengetahuan dan kesedaran jalan raya amat penting diterapkan kepada semua peringkat masyarakat.Jadi adalah relevan jika pembentukan tabiat memandu yang sihat dan kesedaran keselamatan jalan raya bermula di sekolah.

Saya juga berpendapat remaja di usia 16 tahun adalah peringkat umur yang terbaik untuk membentuk mereka.Di ketika ini lah mereka seakan-akan teruja untuk mengetahui lebih lanjut apa itu memandu.Jadikan kurikulum ini sebagai satu matapelajaran yang menarik dan menimbulkan kesedaran secara automatik dalam diri pelajar.Tidak keterlaluan jika saya menyatakan pengetahuan ini adalah “Kemahiran Hidup” yang patut diambil tahu oleh semua orang.

Selain daripada kurikulum semata-mata, penerapan dari segi ko-kurikulum juga mungkin boleh di ambil kira.Penubuhan kelab-kelab yang berorientasi “Keselamatan Jalan Raya” juga dapat memupuk sikap yang baik di jalan raya.Wujudkan kelab ini secara aktif dan mungkin mendapat suntikan idea dari Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) supaya ia dapat dipopularkan di peringkat Kebangsaan.Ini juga dapat mewujudkan situasi dimana kita patut rasa dihormati kerana kita mematuhi undang-undang jalan raya.

Semua agensi yang berkenaan mungkin dapat duduk semeja dengan Kementerian Pelajaran bagi menghasilkan formula kurikulum yang berkesan kepada pelajar.Ini juga membuka ruang pekerjaan kepada guru-guru sekolah memandu untuk memanfaatkan pengetahuan mereka.Skop kerja mereka juga akan menjadi lebih luas dan tidak tertumpu untuk mendapatkan lesen kepada pelajar sekolah memandu mereka.Tidakkah perkara seperti ini dapat memartabatkan fungsi mereka dalam membentuk pemandu yang berhemah di jalan raya?

Secara ringkasnya, sudah sampai masanya penerapan kurikulum JPJ di dedah di peringkat sekolah.Pendedahan ini memerlukan kerjasama oleh semua pihak.Harus diingat ibu bapa juga patut menjadi tunjang kepada penerapan nilai-nilai murni di jalan raya.InsyaAllah, jika semua pihak merasakan diri mereka bertanggungjawab atas usaha murni ini, tidak mustahil masalah ini dapat dibendung suatu hari nanti.

Comments

Popular posts from this blog

Bila Waktu Mula dan Tamat Solat Sunat Dhuha

Kenapa dan Kesan Hempedu Di Buang - Based on True Story

Masjid Berhampiran Stesen LRT/Monorel