Klik Klik

Monday, April 23, 2012

Pesanan Dr. MAZA Kepada Peserta BERSIH.

Ada orang bertanya saya, apakah saya menyokong BERSIH? Saya kata saya masih di UK, tapi saya sokong keadilan dan pemberian hak secara yang wajar. Saya tidak kisah siapa pun menang dalam pilihan raya, tetapi menanglah dengan cara yang adil dan saksama.

Setelah keadilan dibuat, lalu rakyat membuat pilihan memilih parti tertentu, itu adalah hak mereka. Kita mesti akur dengan kerajaan pilihan rakyat secara adil dan saksama. Saya ada ramai kawan dalam BN, juga ramai kawan dalam Pakatan Rakyat.

Saya tidak bersetuju perkara-perkara tertentu dalam di pihak BN, juga di pihak Pakatan. Tapi, saya inginkan agar apabila pilihan raya berlaku, ia berlaku dengan seadilnya, supaya saya tahu apa yang menjadi hak rakyat diberikan secara yang wajar.

Saya tidak mahu bahas soal pendaftaran undi dan seumpamanya, ambil soal media sahaja. Saya rasa tidak semua rakyat suka untuk hadir ke tempat ceramah politik. Ia bercampur positif dan negatifnya.

Namun, rakyat perlu tahu apakah idea parti-parti yang bertanding. Jika TV dan media kerajaan hanya dikuasai sepenuhnya oleh satu pihak sahaja, di manakah peluang rakyat mendengar secara saksama?

Jika di Barat, bahkan di banyak negara demokrasi yang lain, ada saluran-saluran swasta yang membolehkan setiap pihak menyatakan pendapat dan pandangan mereka untuk didengari oleh rakyat, ruang itu tiada dalam negara kita.

Setelah rakyat dengar dan nilai, biarlah mereka membuat keputusan mereka. Seperti mana bukan semua hujah kerajaan itu munasabah, demikian juga bukan semua hujah pembangkang itu boleh diterima.

Agama mengajar kita menjadi golongan ulul albab, iaitu mereka yang mempunyai akal yang matang, yang membuat pertimbangan setelah mendengar pelbagai hujah.

Firman Allah: (maksudnya) "...oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab" (al-Zumar: 17-18).

Seseorang yang menuntut keadilan perjalanan sistem kerajaan, bukan semestinya dia penyokong pembangkang, tetapi itu tuntutan naluri insani yang inginkan sesuatu berjalan dengan cara yang betul.

Jika kita pergi menonton bola sepak, lalu dibuat peraturan yang berat sebelah, lebih baik kita tidak menonton. Ataupun, kita cadang berikan kemenangan percuma sahaja.

Sekalipun kita mungkin tidak sokong pihak yang dianayai, tetapi tidak juga tidak boleh sokong ketidakadilan. Ini fitrah manusia normal. Melainkan kita ini songsang fitrah.

Justeru, menjadi hak rakyat untuk menyatakan perasaan mereka. Alangkah baik jika BERSIH itu tidak dijadikan acara parti politik, tetapi acara yang rentas parti politik. Hadir bukan tanda menyokong pembangkang, tapi menyokong pembaikian sistem.

Namun, saya menasihati mereka yang ingin hadir agar membetulkan niat. Sayangkan negara anda. Bagi yang Muslim, berakhlaklah dengan akhlak Islam. Bagi yang bukan Muslim berpegang dengan nilai-nilai baik yang anda yakini.

Jangan rosakkan harta negara, jangan memaki hamun orang lain, jangan mencerca tetapi laungkan slogan keadilan dan hak yang anda inginkan. Berhimpun dengan penuh sopan dan adab, tetapi dengan penuh semangat. Semoga Allah merahmati anda dan negara kita!

Published with Blogger-droid v2.0.4

2 comments:

Durio Zibethinus said...

Nice post bro...!! ini lah yang cuba aku jerit jeritkan selama ini..nilai kesamarataan!!

pena said...

salam Bro. kita kalau benih yang bagus, campak ke darat jadi gunung, campak ke laut jadi pulau. testimony dapat membuktikan segala-galanya. jika nak menang dengan busukkan ornag lain supaya orang nampak kita baik. itu jahat mandatory yang tersangat.tuiiiiii!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...