Bandar Tasik Selatan Perlu Bersedia Menjelang 2010




Saya adalah antara jutaan pengguna harian Express Rail Link (ERL) dan Light Rail Transit (LRT) di Bandar Tasik Selatan.Saya cukup teruja dengan kemajuan projek terminal bas bersebelah stesen (Express Rail Link) ERL dan menjangkakan projek ini mampu untuk disiapkan dalam masa yang telah dijadualkan.Setelah pengumuman mengenainya telah dibuat oleh Datuk Seri Nazri Abdul Aziz pada Mei lalu, ternyata dari segi mata kasar saya, terminal akan mampu beroperasi pada tahun 2010 seperti yang dijanjikan.
Namun apa yang sedikit merisaukan saya ialah, persediaan pengangkutan awam lain yang sedia ada di Bandar Tasik Selatan. Pihak pengurusan Light Rail Transit (LRT), Express Rail Link (ERL) dan KTM Komuter perlu mengambil langkah pro-aktif bagi menampung kapasiti penambahan hampir 100,000 pengguna apabila Terminal Bas ini beroperasi nanti. Ternyata persediaan dan perancangan yang rapi dan juga teratur perlulah dibuat dari awal lagi.Perlu diingat, langkah ini diambil oleh kerajaan pusat bagi mengelakkan kesesakan yang tiada kesudahan di sekitar Puduraya.Jangan nanti, kita menjadi tikus yang membaiki labu, kita mengharapkan perubahan yang baik tapi lain pula jadinya.
Saya mengambil contoh, pagar pintu masuk/keluar yang sedia ada di ketiga-tiga stesen ini perlulah ditambah unitnya.Jika di fikirkan secar logik, dengan pagar yang sedia ada ternyata belum cukup untuk menampung penambahan pengguna apabila Terminal Bas mula beroperasi nanti.Bagi LRT, suka saya cadangkan penambahan pagar pintu masuk/keluar seperti di Stesen LRT Bukit Jalil wajar dipertimbangkan.Ini kerana , di waktu puncak mahupun di waktu perayaan sudah tentu ramai pengguna akan tertumpu di stesen ini.Untuk Stesen KTM Komuter dan Stesen ERL, penambahan unit pagar masuk/keluar sejajar dengan penambahan pengguna harus dipantau dan dilaksanakan secepat mungkin.
Begitu juga dengan sistem penjualan tiket.Pihak pengurusan mungkin dapat mempromosikan penjualan tiket melalui mesin automatik.Selain daripada menjimatkan masa, ia juga akan mengurangkan kos tenaga kerja di kaunter tiket.Agak malang rasanya, dengan teknologi yang sedia ada kita masih tidak mampu membudayakan pengguna mesin-mesin tiket secara automatik ini. Langkah-langkah seperti ini perlu diberi perhatian khusus bagi mengurangkan kesesakan di stesen terbabit.
Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) secara meluas juga dilihat perlu untuk memantau keadaan di sekitar stesen-stesen ini.Ia bukan sahaja akan menjadi alat pemantauan sahaja malah boleh dijadikan langkah keselamatan bagi membendung segala bentuk jenayah di sini.Kita juga sedia maklum dengan penambahan pengguna dengan mendadak, pelbagai masalah sosial juga mungkin akan tumbuh di kawasan ini.Pemasangan CCTV boleh dijadikan langkah pencegahan awal bagi membantu pihak berkuasa mendapat maklumat cepat dan tepat berhubung sesuatu kes.
Selain itu, penempatan pondok-pondok polis atau balai polis bergerak wajib diteruskan di kawasan ini.Seperti di Puduraya, langkah yang sama wajar diambil di Bandar Tasik Selatan.Kerjasama antara pihak polis dan pengguna akan dapat dilaksanakan dengan lebih jitu dengan langkah seperti ini.
Menjelang 2010, semua pihak termasuk penduduk Bandar Tasik Selatan harus bersedia mengalami perubahan yang mungkin agak drastik.Penempatan Terminal Bas di sini dilihat sebagai langkah terbaik bagi membendung masalah kesesakan di Puduraya.Namun, di suatu sudut, kita juga tidak mahu permasalahan yang sama masih lagi timbul apabila projek itu siap nanti.Saya amat berharap pihak berwajib dapat memainkan peranan yang lebih efisen bagi merealisasikan matlamat ini.

Comments

Popular posts from this blog

Kenapa dan Kesan Hempedu Di Buang - Based on True Story

Bila Waktu Mula dan Tamat Solat Sunat Dhuha

Masjid Berhampiran Stesen LRT/Monorel