Klik Klik

Wednesday, December 16, 2009

Banyakkan pendedahan tindakan ketika kecemasan


BEBERAPA hari lalu, tragedi demi tragedi yang mengorbankan nyawa hadir menghantui seluruh rakyat Malaysia. Bermula dengan kejadian rempuhan sebuah kereta yang terhumban ke dalam pusat beli-belah sehinggalah kejadian rempuhan lori tangki minyak ke sebuah rumah seakan-akan memberi suatu persepsi bahawa bahaya ada di mana-mana waima berteduh di dalam rumah.
Walaupun ketentuan Ilahi bukanlah kuasa manusia untuk menidakkannya, namun apakah usaha kita ke arah mencegah sesuatu yang buruk daripada menimpa diri?
Ternyata, satu kurikulum atau kokurikulum baru amat diperlukan bagi mengetengahkan tindakan kecemasan atau dikenali sebagai Emergency Response Plan di peringkat menengah rendah lagi. Ini kerana setiap tindakan pantas yang di ambil mungkin akan dapat menyelamatkan nyawa seseorang.
Apa jua bentuk tindakan kecemasan yang diambil memerlukan pengetahuan asas bagi mengelakkan sebarang kemudaratan. Pengetahuan seperti inilah masih samar-samar di kalangan rakyat Malaysia. Penekanan dan pendedahan yang dibuat adalah seperti melepaskan batuk di tangga.
Contoh yang paling mudah ialah betapa kita mengambil sikap acuh tak acuh ketika latihan kecemasan kebakaran di asrama-asrama sekolah. Tiada pemantauan yang komprehensif bagi menimbulkan kesedaran kepada pelajar tentang pentingnya perkara ini.
Selain daripada itu, ketidaktentuan iklim yang menyebabkan pelbagai bencana alam seperti gempa bumi harus diberi perhatian serius semua pihak. Dari segi fakta geografi, Malaysia bukanlah berada di dalam Lingkaran Gunung Berapi namun kejadian beberapa gempa bumi kecil di Bukit Tinggi, Pahang dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan baru-baru ini wajar dijadikan iktibar supaya kita lebih peka tentang tindakan kecemasan yang perlu diambil ketika bencana seperti ini berlaku.
Kita juga sedia maklum, di tempat kerja kita mempunyai pelbagai garis panduan yang di keluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja. Namun, ketika di luar konteks kerja jarang sekali pendedahan yang sepatutnya diberikan.
Walaupun ada satu atau dua informasi yang boleh diguna pakai dalam kehidupan seharian, penekanan yang diberikan di luar waktu kerja masih kurang. Adakah kita boleh bertoleransi dengan menyatakan nyawa kita hanya penting ketika di tempat kerja sahaja? Oleh yang demikian dalam memupuk pengetahuan seperti ini, adalah menjadi keutamaan untuk mendedahkannya di peringkat sekolah lagi.
Satu kurikulum mahupun kokurikulum baru wajar diwujudkan bagi memberi pengetahuan yang jelas tentang Emergency Response Plan. Jika penambahan mata pelajaran mungkin akan membebankan para pelajar, penerapan dalam bentuk kokurikulum mungkin dilihat pilihan lain yang boleh diketengahkan.
Kemudian ilmu yang dicedok diharapkan dapat diperluaskan di rumah untuk dipraktikkan bersama ahli keluarga. Malaysia boleh mengambil contoh negara-negara yang biasa mengalami bencana alam seperti Jepun tentang inisiatif yang mereka ambil bagi menerapkan pengetahuan ini kepada masyarakat.
Sudah sampai masanya kita mengkaji dan mengambil tindakan ke arah membentuk masyarakat yang lebih peka terhadap keselamatan dan tindakan yang wajib diambil ketika dalam kecemasan. Pemikiran lama bahawa kita sentiasa selamat juga harus diketepikan kerana pepatah Melayu ada mengatakan "malang tidak berbau". Di mana tahap kesedaran kita, hanya kita mampu menilai dan mengubahnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...