Mentranformasi Kredibiliti Penjawat Awam



Satu ketika dahulu, sektor awam seringkali dilabel sebagai zon selesa dalam bidang pekerjaan.Mereka yang memilih untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan dianggap mereka yang tidak mahu persaingan kerana takut merisikokan diri sendiri.Tetapi pada pendapat saya, itu adalah pemikiran yang dangkal, cetek dan tuduhan yang tidak berasas.Namun, saya tidak menafikan sektor awam perlukan transformasi yang lebih jitu dan berkesan dalam menterjemahkan dasar dan keputusan pucuk pimpinan kerajaan.
Sejak Datuk Seri Najib mengambil alih pucuk pimpinan, telah banyak dasar yang diketengahkan untuk meneruskan agenda pembangunan negara.Namun di satu sudut, tidak dapat dinafikan dasar-dasar harus difahami dan ditelusi oleh semua penjawat awam.Selain daripada gagasan 1 Malaysia yang sering diperkatakan oleh masyarakat ketika ini, saya tertarik kepada 4 Rukun pembaharuan yang digariskan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno baru-baru ini.Saya melihat pembaharuan ini bukan sahaja boleh dipraktikkan di dalam UMNO, malah patut dikongsi dan dihayati bersama oleh penjawat awam dalam merealisasikan gagasan 1 Malaysia.
Empat rukun itu ialah wahdatul fikr (kesatuan minda), wahdatul qalb (kesatuan hati), wahdatul amal (kesatuan amal) dan wahdatul hadaf (kesatuan matlamat). Tampak nyata 4 rukun ini bukanlah wadah politik semata-mata.Semua penjawat awam patut mengambil peluang ini memuhasabah diri, berusaha menterjemahkan 4 rukun ini dalam persekitaran kerja sekaligus mewujudkan sektor awam yang lebih cemerlang.
‘Kesatuan Minda’ dilihat mampu melahirkan penjawat awam yang rajin berfikir dan menganalisa setiap tugas dengan baik.Disinilah setiap penjawat awam berganding bahu memikirkan jalan penyelesaian terbaik untuk kesejahteraan rakyat.Berfikir di luar kotak kebiasaannya juga tidak patut lagi dianggap janggal oleh setiap individu.Malah pendekatan “Brain Storming” harus dijadikan amalan harian bagi mencapai sesuatu keputusan.
‘Kesatuan Hati’ pula perlu dipupuk ketika penjawat awam menurunkan tandantangan di “Surat Aku Janji” lagi.Ini adalah amanah yang harus dipikul sejak hari pertama lagi.Ketika ini kita berikrar mematuhi semua “Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 “ yang digariskan oleh kerajaan.Setiap peraturan harus disuburkan di hati nurani masing-masing.Sepatutnya kita tidak lagi merungut atau mempertikaikan apa yang telah kita janjikan.Apabila hati dengan redha dan ikhlas menerima sesuatu pekerjaan itu, insyaAllah kita tidak akan mudah goyah menerima apa jua halangan dan rintangan dalam melaksanakan tugas kita.
‘Kesatuan Amal’ adalah salah satu idea proses perlaksanaan yang harus dipraktikkan oleh semua penjawat awam.Kesediaan kita untuk berkhidmat dengan rakyat boleh mencerminkan budaya profesionalisme dalam sektor awam.Sikap sambil lewa, melengah-lengahkan tugas patut dibuang jauh-jauh dari awal lagi.
“Kesatuan Matlamat” memerlukan perkongsian hala tuju yang sama oleh semua pihak, baik di peringkat atasan mahupun bawahan.Ketika ini pendekatan “turun padang” adalah satu kaedah terbaik yang boleh dipraktikkan.Ketua yang mendekatkan diri dan cuba memahami masalah anak buahnya boleh memotivasikan pekerja untuk berdaya saing sekaligus mencapai objektif yang ditetapkan.
Secara ringkasnya, 4 Rukun pembaharuan ini adalah satu garis panduan yang patut difahami dan dipraktikkan oleh semua penjawat awam.Tidak dapat dinafikan ia boleh membantu dalam pembentukkan kredibiliti penjawat awam yang lebih cemerlang.Rebutlah peluang ini untuk memajukan diri demi bangsa, agama dan negara.

Comments

Popular posts from this blog

Kenapa dan Kesan Hempedu Di Buang - Based on True Story

Bila Waktu Mula dan Tamat Solat Sunat Dhuha

Masjid Berhampiran Stesen LRT/Monorel