Aduhai Bonus oh Bonus.........


Belanjawan 2010 – Pengorbanan Kakitangan Awam


Topik yang paling hangat diperkatakan ketika ini ialah isu tiada pemberian bonus kepada penjawat awam ketika pembentangan Belanjawan 2010.Ternyata ramai penjawat awam berasa terkilan dengan situasi ini.Namun, terkilan bukanlah bererti kami tidak mensyukuri nikmat Allah di atas pemberian RM 500 oleh pihak kerajaan. Saya melihat ini adalah situasi yang normal dan tidak patut dimanipulasi oleh sesetengah pihak untuk melaga-lagakan antara penjawat awam dan pihak kerajaan.Mahu tidak mahu, itulah realiti yang harus kita tempuhi.Saya juga berasa kurang senang jika dilabel sebagai orang yang tidak pandai mensyukuri nikmat Allah.Ironinya, kami juga berhak menyuarakan keluhan kami.CUEPACS adalah saluran kami.Tidak seperti pekerja swasta lain yang mempunyai persatuan pekerja sendiri yang mungkin juga menyuarakan pelbagai protes mereka terhadap majikan.Cuma bagi penjawat awam, apabila CUEPACS bersuara maka “1 Malaya” akan tahu kerana isu kami dibawa terus ke arus media-media utama negara kita.Namun tidak dapat dinafikan juga, ada di antara kami menyuarakannya dalam bahasa yang kurang menyenangkan sesetengah pihak.
Dari segi fakta, Belanjawan Negara dari tahun 2000 hingga 2009 telah membentangkan pemberian bonus kepada penjawat awam sama ada dari setengah bulan atau satu bulan gaji setiap tahun dimana bonus minimum ditetapkan dari RM1000 ke RM1500.Cuma pada tahun 2001 dan 2008 bonus tidak diumumkan tetapi digantikan dengan kenaikan gaji pokok ataupun penambahan elaun sara hidup bagi tahun berkenaan.Berdasarkan statistik ringkas ini, maka tidak salah penjawat awam mengharapkan sedikit habuan bonus pada belanjawan 2010.Namun kami terpaksa akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh pihak kerajaan.
Walaupun pelbagai insentif lain yang diperkenalkan seperti Klinik 1Malaysia mahupun Projek Permata Negara yang mana akhirnya memberi faedah kepada penjawat awam, pemberian bonus dilihat perlu sebagai tanda simbolik penghargaan kepada kami.Itulah besar ertinya perkataan “bonus” dalam sesebuah institusi pekerjaan.Pelbagai tohmahan dibuat jika kami menyuarakan kehendak seperti ini.Ada yang menyatakan kami “Lebih Kuah Daripada Sudu” jika meminta perkara sebegini.Ternyata pengorbanan kami masih lagi dipandang serong oleh sesetengah pihak.
Saya juga tertarik dengan idea Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib untuk memperkenalkan Program “Cross-Fertilisation” Sektor Awam dan Swasta (GLC).Ternyata program ini akan mempertingkatkan mutu kualiti kerja di sektor awam.Namun disuatu sudut apakah daya penarik sektor awam? Kita sedia maklum syarikat-syarikat GLC menawarkan pelbagai imbuhan kepada kakitangan mereka. Saya berpendapat sudah sampai masanya kerajaan menetapkan bonus sebulan gaji atau setengah bulan gaji setiap tahun kepada setiap penjawat awam.Tidakkah ini akan menarik minat ramai rakyat Malaysia menyertai kami, menyumbang bakti kepada tanah air tercinta.
Kesimpulannya,pada pendapat saya Belanjawan 2010 masih lagi tepat dengan temanya “1 Malaysia Kemakmuran Bersama”.Keluhan kami mengenai bonus hanya satu suara kecil jauh dari hati tulus kami.Kami, penjawat awam masih lagi mampu berfikir secara rasional, dan tidak pula sesekali memikirkan untuk berpaling tadah dari terus menterjemahkan dasar-dasar kerajaan.Tidak keterlaluan saya nyatakan jika perkara seperti ini berlaku kepada pekerja swasta, keesokkan harinya ada di antara mereka akan sibuk membelek akhbar mencari pekerjaan baru untuk mereka.Itulah uniknya kami.Dengan semangat juang dan iltizam yang kukuh kami tidak mudah goyah dengan dugaan seperti ini.
Kepada semua penjawat awam suka saya bawa petikan Belanjawan 2001 yang disampaikan oleh Tun Daim Zainuddin pada 27 oktober 2000 yang ketika itu memegang portfolio Menteri Kewangan.Petikan ucapannya berbunyi “Marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripada kisah kaum Saba’ mengenai nikmat Allah Subhanahu Wa Taala seperti difirmankan dalam ayat 15 Surah Saba’ yang bermaksud:“Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlahkepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!”.

Comments

Popular posts from this blog

Kenapa dan Kesan Hempedu Di Buang - Based on True Story

Bila Waktu Mula dan Tamat Solat Sunat Dhuha

Masjid Berhampiran Stesen LRT/Monorel